Sekolah ini telah ditubuhkan pada 25 Mei 1947 melalui usaha Arwah Tn. Hj. Ab. Rahman b Din ( Imam Mukim Karang ). Nama awal sekolah ini ialah Sekolah Kebangsaan Karang kerana terletak di Kampong Karang. Bangunan awal sekolah ini bertiang nipah, berdinding buluh dan beratapkan nipah dan berlantaikan tanah.

Tujuan penubuhan sekolah ini adalah untuk memberi pendidikan dan menuntut kemerdekaan daripada pihak British. Sekolah ini adalah dibawah sekolah "Persetiaan Melayu Kelantan". Semasa pembukaannya tenaga pengajar adalah En. Saufi b Idris dan Tn. Hj. Mohd Amin b Yaakub. Setelah kedua-duanya meninggal dunia ia digantikan oleh Tn. Hj. Ab Rahman b Din. Murid-muridnya pula berjumlah 60 orang.

Pada tahun 1950, nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Gong Dermin oleh pengasasnya iaitu Tn. Hj. Ab Rahman b Din. Nama ini diambil sempena dengan kedudukan sekolah ini yang terletak di atas sebidang tanah milik Tn. Hj. Ab Rahman b Din. Berhampiaran sekolah ini, terdapat sebuah alur dan di dalam alur ini terdapat pokok Dermin yang hidup subur.

Guru Besar pertama sekolah ini ialah En. Ali b Mohamad dan di bantu oleh dua orang tenaga pengajar iaitu En. Yusoff b Man dan En. Adam b Yusoff. Pengajaran Bahasa Inggeris pula dilakukan pada waktu petang oleh En. Abu Bakar, En. Othman dan En. Hassan. Pengajaran agama pula diajar oleh Tn. Hj. Idris dan Tn. Hj. Yusof ( kedua-duanya adalah bekas Kadi Besar Kota Bharu ).

Pada tahun 1960, Tn. Hj. Ab Rahman memindahkan sekolah ini ke tapak baharu iaitu tapak sekolah sekarang. Bangunannya didirikan oleh kerajaan dan pada 1.1.1962 sekolah ini diterima sebagai sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan. Jumlah muridnya meningkat kepada 220 orang dan tenaga pengajarnya berjumlah 9 orang.


0 comments so far,add yours