MUALLIM: Slot TV Pendidikan menerusi saluran TV Okey dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula Isnin ini, memberi banyak manfaat kepada pelajar terutama di luar bandar. Pasangan kembar pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Zulkifli Mohamad, Shazuin Jamalos, 15, dan adiknya, Mazuin berkata mereka yang tinggal di kawasan luar bandar lebih mudah mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) melalui televisyen. 

“Saya bersimpati dengan rakan yang tinggal di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan internet, capaian internet rendah serta tidak telefon bimbit, sebelum ini tidak dapat belajar bersama dalam aplikasi Google Classroom dan Zoom yang dikendalikan guru secara online. “Namun, sudah tentu TV Pendidikan sebagai saluran bonus untuk kami mengulangkaji pelajaran,” katanya ketika ditemui, di Taman Slim Permata, dekat sini, hari ini. 

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, slot TV Pendidikan itu akan disiarkan selama dua jam setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Waktu siaran adalah pada jam 9 hingga 10 pagi dan jam 1 tengahari hingga 2 petang. Adiknya, Mazuin pula berkata, beliau tidak sabar menonton TV Pendidikan yang bakal bersiaran bermula pada Isnin ini yang sudah tentu menjanjikan PDP yang menarik dan interaktif. “Ia dapat membantu kita dengan mempelbagai teknik pembelajaran sudah tentu akan dapat lebih meningkatkan kefahaman dalam menguasai subjek tertentu. “Jadi sebagai pelajar yang bakal menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini, sudah tentu akan mempersiapkan diri dengan buku nota dan alat tulis ketika menonton TV Pendidikan nanti,” katanya. 

Sementara itu, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang, di sini, Naufal Mohd Zamree,12, berkata belajar melalui televisyen sudah tentu menjanjikan pengalaman cukup menarik dalam menimba ilmu pengetahuan. “Belajar melalui aplikasi yang terdapat melalui internet ada masanya terpaksa menunggu lama kerana capaian internet perlahan. “Menerusi saluran TV Pendidikan sudah tentu bakal memberi peluang kepada saya dan rakan sekolah terutama yang tinggal di kampung dapat belajar sambil menonton secara santai,” katanya. 

Naufal berkata, ketika menonton Slot TV Pendidikan semua murid perlu mencatat bahan pembelajaran dan jika kurang faham perlu merujuk guru apabila sesi persekolahan kembali bermula tidak lama lagi. BERITA BERKAITAN
Kongsi :

Cikgu ICT

Post A Comment:

0 comments so far,add yours