Kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) di institusi pengajian tinggi (IPT) negara berubah wajah daripada pengajaran tradisional berbentuk kuliah kepada pembelajaran maya. Sama ada secara teradun atau menggunakan Web 2.0, pensyarah dan pelajar terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Pandemik COVID-19 menyebabkan Kementerian Pendidikan mengarahkan universiti dan kolej tidak mengadakan kelas secara bersemuka. 

Mulai 18 Mac lalu, kerajaan memperkasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap pertama. Pada masa itu, warga pendidik berasakan perubahan paradigma amalan yang sukar dilalui kerana wajib menggunakan pengajaran maya. Pengaplikasian PdP secara maya memerlukan kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan pensyarah mahupun pelajar. Realitinya, ada pensyarah sentiasa menggunakan kaedah ini, namun ramai juga yang menggunakannya apabila perlu sahaja. Proses pedagogi dan andragogi berlaku apabila pelajar IPT belajar secara maya menggunakan manual sukatan pengajian ditentukan. Pelajar dan pensyarah mendapat pengalaman berinteraksi, berkomunikasi dan menonton video dalam membina pengajaran mantap dalam proses PdP yang berkesan. 

Medium pembelajaran dalam talian membantu pelajar bertukar idea, berkomunikasi dan menyelesaikan tugasan minggu mereka hingga akhir semester. Penggunaan aplikasi pembelajaran secara maya juga memerlukan kemahiran terutama pensyarah. Pelajar biasanya boleh mengendalikan apa juga aplikasi diberikan pensyarah dalam PdP. Melalui aplikasi ini, pensyarah dapat memberi bimbingan dalam talian berdasarkan sukatan pelajaran walaupun mengalami kesukaran dari segi pengaksesan internet. Bekerja dari rumah (WFH) bukanlah senang seperti disangka. 

Capaian internet menjadi perkara utama. Bukan semua yang belajar di IPT itu berduit. Ada tinggal di luar bandar itu miskin dan tidak berkemampuan membeli peranti elektronik internet. Pelajar menggunakan telefon bimbit terpaksa membeli data semasa mengakses internet. Mereka terpaksa berbelanja banyak untuk memudahkan komunikasi. Kekangan ini menghalang penyampaian proses PdP andragogi dan pedagogi. Andragogi adalah proses PdP membabitkan pelajar seperti di IPT dan pedagogi adalah proses pembelajaran berterusan dan menerapkan pelbagai kemahiran. Dengan adanya teknologi di pangkuan, pelajar tidak dapat memberi pelbagai alasan untuk tidak menghabiskan tugasan. Peranan dan fungsi pensyarah secara WFH dalam talian mendorong, menasihat, menggalak dan menarik lebih ramai pelajar dalam proses interaksi belajar kendiri. 

Proses pembelajaran menggunakan platform internet membolehkan pelajar memahami permasalahan nyata secara komunikasi maya. Pelajar dapat merumuskan tujuan belajar dan merefleksi kembali apa yang dipelajari. Oleh kerana pembelajaran dalam talian dapat dilakukan di mana sahaja dan bila-bila masa oleh pelajar dan pensyarah, tugas diberikan harus diselesaikan mengikut jangka masa diberikan. Pelajar pasti berasa rimas tidak dapat keluar dari rumah. Keadaan ini menjadi refleksi kepada semua pihak. Oleh itu, ramai pelajar faham dan akur arahan pensyarah untuk mencapai andragogi dan pedagogi dengan menyelesaikan tugasan diberi. 

Semangat belajar mendorong pelajar berikhtiar mengatasi masalah berkaitan pembelajaran maya di rumah dengan meminta bantuan ibu bapa dan rakan sebaya untuk menyelesaikan tugasan atau penyelidikan mereka. Walaupun menghadapi tekanan dalam menyelesaikan tugasan, pemikiran secara kritis dan positif mendorong pelajar mengikuti kelas dalam talian dan mengurangkan masalah tekanan dialami demi menyempurnakan pembelajaran secara andragogi dan pedagogi. Tanpa sedar, mereka boleh dikategorikan sebagai pemikir mendalam untuk menyelesaikan masalah dalam PdP. 

Tujuan meletakkan PdP dalam talian sebagai platform utama dalam sistem pendidikan merangsang peningkatan kemahiran teknologi maklumat (IT) dalam kalangan pelajar dan pensyarah. Penekanan andragogi dan pedagogi membuka ruang baharu kepada pelajar di IPT hari ini menggunakan kemudahan teknologi canggih untuk pengembangan ilmu dan peribadi dengan lebih baik. Dengan kemahiran IT yang baik, pelajar dan pensyarah bukan sahaja dapat memenuhi keperluan sukatan pelajaran mengikut kursus, malah dapat meningkatkan pengetahuan berkomunikasi secara WFH. 

Sebagai warga pendidik, pensyarah harus bangga penerapan andragogi dan pedagogi kepada pelajar secara WFH dalam talian sejajar harapan kerajaan untuk mencapai Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Penulis adalah Felo Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir (IPDM) dan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM)
Kongsi :

Cikgu ICT

Post A Comment:

0 comments so far,add yours