Selamat pagi anak-anak didik SKGD. Perkongsian hari ini ialah tentang Sentuhan Selamat Dan Tidak Selamat. Sila tonton video untuk mengetahui tentang sentuhan selamat dan tidak selamat ini.

Adalah sukar bagi ibu bapa dan penjaga untuk menentukan bila mereka patut mula mengajar kanak-kanak mengenai keselamatan diri. Adalah lebih sukar untuk memulakan topik tentang pemangsa yang mungkin mengambil kesempatan terhadap mereka.

Pun begitu, melihatkan epidemik pedofilia yang semakin meluas dan mula memberi kesan kepada kanak-kanak di sekolah, tempat awam atau di dunia digital, mengajar anak anda tentang langkah keselamatan yang perlu dilakukan adalah satu keperluan sedari usia kecil lagi.

Sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat patut menjadi pengetahuan asas bagi setiap kanak-kanak. Berbekalkan pengetahuan ini, mereka akan lebih bersedia untuk melindungi diri mereka.

Ajar kanak-kanak nama semua bahagian tubuh mereka, termasuklah bahagian sulit
Kanak-kanak sering merasa sukar untuk memberitahu orang dewasa mengenai penderaan seksual kerana mereka tidak tahu perkataan yang patut digunakan. Mempelajari istilah yang betul (anatomi) terhadap bahagian sulit dan memberikan kanak-kanak kosa kata yang betul membantu mereka bercakap mengenai bahagian badan mereka. Apabila mengajar anak-anak kecil bahagian tubuh yang berbeza, gunakan perkataan yang betul untuk bahagian sulit mereka seperti kemaluan dan punggung.

Ajar kanak-kanak, “Anda adalah bos badan anda”
Ajar anak memahami siapa yang berhak menyentuh mereka dan bagaimana. Wujudkan suasana rumah yang menghormati hak peribadi masing-masing termasuklah tubuh badan anak-anak anda. Bina latihan bersama mereka untuk belajar mengekspresikan diri, sebagai contoh, anak anda mungkin menyatakan kepada adiknya “Kakak tidak suka adik bermain rambut kakak, tolong berhenti”. Anda sebagai ibu bapa atau penjaga juga perlu segera menghormati hasrat mereka untuk tidak disentuh dengan cara tertentu.

Selain itu, anda juga perlu berhenti memaksa anak anda memberi atau menerima pelukan atau ciuman daripada saudara-mara jika mereka tidak mahu. Ini mengajar kanak-kanak mengatakan tidak kepada sentuhan daripada orang dalam keluarga mereka. Sesetengah saudara-mara mungkin mengharapkan pelukan daripada anak-anak anda setiap kali mereka bertemu. Jelaskan kepada mereka bahawa anda sedang mengajar anak-anak anda untuk menjadi bos badan mereka sebagai sebahagian daripada pendidikan tentang keselamatan agar saudara anda tidak tersinggung oleh tingkah laku mereka.

Terangkan kepada anak anda bahawa terdapat tiga jenis sentuhan
Tiga jenis sentuhan tersebut adalah:

Sentuhan selamat.
Ini adalah sentuhan yang membuat kanak-kanak merasa dipedulikan dan penting. Sentuhan selamat termasuklah memeluk, menepuk di belakang, dan merangkul pada bahu. Sentuhan selamat juga termasuklah sentuhan yang mungkin menyakitkan, seperti mengeluarkan serpihan. Jelaskan kepada kanak-kanak bahawa apabila anda mengeluarkan serpihan, anda melakukannya untuk memastikan mereka sihat, yang menjadikannya sentuhan yang selamat.


Sentuhan tidak selamat.
Ini adalah sentuhan yang menyakiti badan atau perasaan kanak-kanak (contohnya, memukul, menolak, mencubit, dan menendang). Ajar kanak-kanak bahawa jenis sentuhan ini tidak baik.

Sentuhan yang tidak diingini.
Ini adalah sentuhan yang mungkin selamat tetapi seorang kanak-kanak tidak mahukannya daripada orang tersebut pada masa itu. Tidak mengapa untuk seorang kanak-kanak mengatakan tidak kepada sentuhan yang tidak diingini, walaupun daripada orang biasa. Bantu anak-anak anda mengatakan ‘tidak’ dengan suara yang kuat dan sopan. Ini akan membantu mereka belajar menetapkan sempadan peribadi.


Anda boleh mengajar mereka bahawa terdapat satu lagi sentuhan yang tidak selamat yang juga tidak baik. Sentuhan ini adalah apabila seseorang yang lebih tua atau lebih besar menyentuh bahagian sulit mereka. Cara anda menjelaskan perkara ini akan bergantung kepada umur anak anda.

Bagi anak yang kecil, anda mungkin berkata, “Satu lagi sentuhan yang tidak selamat adalah apabila orang yang lebih besar menyentuh adik pada bahagian sulit dan bukan untuk membersihkan atau memastikan adik sihat. Oleh itu, peraturan keselamatan keluarga kita ialah tiada siapa boleh menyentuh bahagian sulit adik kecuali untuk memastikan adik bersih dan sihat. ”

Ibu bapa perlu memahami bahawa maksud membersihkan ini merujuk kepada anak-anak yang masih memerlukan bantuan orang dewasa untuk menukar lampin, pergi ke tandas, atau mandi.

Manakala memastikan “sihat” merujuk kepada lawatan doktor; contohnya, apabila doktor memberi kanak-kanak suntikan di bawah pengawasan penjaga. Apabila mereka meningkat remaja, mereka mungkin sudah boleh menguruskan pertemuan dengan doktor secara sendirian.

Untuk kanak-kanak yang lebih besar, anda mungkin berkata, “Satu lagi sentuhan yang tidak selamat adalah apabila seseorang menyentuh adik di bahagian sulit dan bukan untuk memastikan adik sihat. Oleh itu, peraturan keselamatan keluarga kita ialah tiada siapa boleh menyentuh bahagian sulit adik kecuali untuk menjaga kesihatan adik. ”

#unitbimbingankaunseling #skgd #sentuhanselamat #sentuhantidakselamat


Kongsi :

Cikgu ICT

Post A Comment:

0 comments so far,add yours