Khamis, 27 Oktober 2022 - SK Gong Dermin telah mengadakan gotong-royong perdana bagi sesi 2022. Aktiviti ini melibatkan semua murid dan guru di sekolah. Sebelum bermula acara gotong-royong perdana, murid-murid dan guru diberi taklimat oleh Penolong Kanan HEM.
Kemudian, setiap guru kelas diminta membahagikan tugas-tugas kepada setiap murid mengikut kelas dan kawasan bagi melaksanakan program Gotong-Royong Perdana. Murid-murid dan guru kemudian mula bergerak ke kawasan masing-masing dengan pelbagai
peralatan seperti kain buruk, baldi, penyapu dan berus.
Persekitaran sekolah yang bersih dan ceria dapat membantu mempertingkatkan proses
pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan dan efektif. Sehubungan dengan
itu, pihak sekolah melalui Jawatankuasa 3K (Keselamatan, Kesihatan dan Kebersihan)
telah merancang untuk menganjurkan satu aktiviti Gotong-royong Perdana bagi memenuhi matlamat yang telah diterapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Aktiviti
ini diharapkan dapat memberikan pendedahan dan amalan kepada pelajar tentang betapa pentingnya menjaga kebersihan dan keceriaan sekolah terutamanya bilik darjah. Di
samping itu, aktiviti ini akan membolehkan murid menerapkan nilai-nilai murni dalam
diri mereka. Adalah menjadi harapan agar para pelajar, ibu bapa, guru serta warga
sekolah akan memperoleh manfaat daripada aktiviti ini dan seterusnya memenuhi serta
mencapai matlamat 3K.
Rasional program ini dilaksanakan adalah untuk menyediakan persekitaran sekolah
yang selamat, kondusif dan ceria untuk keselesaan seluruh warga sekolah. Perlaksanaan
program ini dilihat dapat memberi kesan positif kepada seluruh warga sekolah kerana
sekolah semakin bersih, cantik ceria dan yang paling utama selamat untuk seluruh
warga sekolah. Semoga dengan perlaksanaan program 3K ini seluruh warga sekolah
akan sama-sama mendapat manfaatnya.
Post A Comment:
0 comments so far,add yours