Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini telah berada dalam Gelombang 3 bermula tahun 2021, iaitu fasa terakhir pelaksanaan pelan ini. Sejak pelaksanaan Gelombang 1 pada tahun 2013 hingga 2015, semua pencapaian strategi dan inisiatif dalam transformasi pendidikan seperti yang digariskan dalam PPPM telah dilaporkan melalui Laporan Tahunan PPPM. Kejayaan KPM dalam mencapai sasaran PPPM terus menjadi anjakan KPM untuk melipat gandakan usaha dan ikhtiar bagi menambah baik penyediaan akses pendidikan berkualiti tinggi kepada seluruh generasi pewaris negara. Pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada tahun 2020 telah memberi kesan yang sangat mendalam kepada semua sektor, khususnya sektor pendidikan. Antara cabaran utama yang dihadapi adalah untuk memastikan murid berupaya mendapat akses kepada pendidikan dalam keadaan selamat agar tidak ketinggalan dalam pembelajaran dan seterusnya membendung risiko keciciran dalam kalangan murid. 

Walau bagaimanapun, KPM sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai pendekatan strategik dan bersesuaian dalam tempoh sukar tersebut demi kelangsungan pendidikan anak-anak. Ini juga merupakan sebahagian daripada usaha KPM dalam memastikan transformasi pendidikan dapat terus dijayakan. Dalam hal ini, KPM telah mengatur dan menyusun semula strategi dan pendekatan sedia ada serta melaksanakan inovasi yang bersesuaian bagi mencapai matlamat yang disasarkan, dengan turut mengambil kira impak pandemik COVID-19 yang berlarutan lebih 2 tahun. 

Selain itu, KPM telah melaksanakan pendekatan proaktif dengan memperkenalkan pelbagai alternatif dalam kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mengikut kesesuaian guru dan murid. Antara pendekatan yang dilaksanakan adalah menyediakan Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi membantu guru dan pentadbir dalam pelaksanaan PdPR. Di samping itu, KPM turut melancarkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV@NTV7 bagi meningkatkan akses kepada pembelajaran untuk murid di seluruh negara.

DATUK DR. RADZI JIDIN 
Menteri Kanan Pendidikan


Kongsi :

Cikgu ICT

Post A Comment:

0 comments so far,add yours