Articles by "Kurikulum"
Showing posts with label Kurikulum. Show all posts

Sekolah Kebangsaan Gong Dermin telah melibatkan murid Tahun 6 dalam Kem Generasi Madani Al-Quran Di Hati: Pecutan Khatam Al-Quran Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu Fasa 2 Tahun 2026. 

Program ini merupakan salah satu usaha untuk memperkukuh penguasaan bacaan al-Quran dalam kalangan murid serta menyemai kecintaan terhadap kitab suci al-Quran sebagai panduan hidup seorang Muslim. Pelaksanaan kem ini memberikan peluang kepada murid untuk meningkatkan kelancaran bacaan al-Quran, memperbaik sebutan mengikut hukum tajwid serta membina keyakinan diri dalam meneruskan bacaan sehingga khatam. Bimbingan dan latihan secara berfokus diharapkan dapat membantu murid mencapai sasaran khatam al-Quran, di samping meningkatkan kefahaman mereka tentang kepentingan membaca, menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian. 

Selain memberi penekanan kepada aspek penguasaan bacaan, program ini turut menyokong pembentukan sahsiah dan akhlak mulia murid selaras dengan aspirasi Generasi Madani yang berilmu, beradab, berdisiplin serta mempunyai pegangan agama yang kukuh. Penglibatan murid dalam program seumpama ini juga dapat memupuk semangat kesungguhan, istiqamah dan tanggungjawab dalam menuntut ilmu, khususnya ilmu al-Quran. Pihak Sekolah Kebangsaan Gong Dermin merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu, para guru pembimbing serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. 

Senarai nama peserta yang mengikuti :

  1. MUHAMMAD HAZRY MIKAIL BIN MOHD YUZAIRI 
  2. MUHAMMAD FIRAS BIN ZULKEPLI 
  3. AMJAD AL HUSAINI BIN MOHD ZABIDON 
  4. MUHAMMAD FIRASH WAFIQQ BIN MOHD FIRDAUS
  5. AHMAD UMAR MURSYID BIN SUPIA SUGHARI 

Semoga segala usaha dan bimbingan yang diberikan menjadi amal jariah serta memberikan manfaat berpanjangan kepada murid. Diharapkan agar penyertaan dalam kem ini menjadi pemangkin kepada murid untuk terus mendampingi al-Quran, bukan sahaja sepanjang berada di bangku sekolah, malah sepanjang hayat. Semoga lahir generasi yang mencintai al-Quran, menghayati ajarannya dan menjadikannya sebagai pedoman dalam membina kehidupan yang diberkati Allah SWT. 

Tahniah dan syabas kepada semua murid Tahun 6 yang terlibat! Semoga usaha memartabatkan al-Quran terus subur dalam jiwa setiap murid dan menjadi asas pembentukan generasi Madani yang berilmu, beriman serta berakhlak mulia. 

Sekolah Kebangsaan Gong Dermin — Melahirkan Generasi Berilmu, Berakhlak dan Berdaya Saing




Pada 23, 24 & 27 November 2022, Sekolah Kebangsaan Gong Dermin telah mengadakan Bengkel Pembugaran PDPC PAK21 Subjek Teras 2022 bertempat di Dewan Sri Dermin. 

Objektif bengkel KBAT ini adalah untuk : 

  1. Mengubah amalan hafalan kepada kefahaman. 
  2. Meningkatkan tahap kesedaran pengetahuan. 
  3. Mewajarkan penyelesaian dan penemuan (lebih banyak analisa, menilai & mencipta). 
  4. Diperlukan untuk penyiasatan saintifik.
Pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) KBAT yang berkesan perlu berpusatkan murid dengan melibatkan mereka secara aktif dalam PdP melalui tugasan dan soalan yang mencabar pemikiran. Justeru, guru perlu mewujudkan suasana bilik darjah yang kondusif bagi merangsang murid berfikir. Guru juga boleh menggunakan alat berfikir dan teknik penyoalan dalam usaha membudayakan pemikiran yang kritis dan kreatif dalam kalangan murid.




















KUALA LUMPUR: Slot TV Pendidikan yang bakal disiarkan menerusi saluran TV Okey, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan bermula pada Isnin ini. Kementerian Pendidikan menjelaskan, slot TV Pendidikan itu akan disiarkan selama dua jam setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Waktu siaran adalah pada jam 9 hingga 10 pagi dan jam 1 tengah hari hingga 2 petang. 

“Ini adalah satu usaha tambahan kepada siaran EduwebTV yang ketika ini dilaksanakan Kementerian Pendidikan secara talian di laman sesawang. “Slot Program TV Pendidikan ini membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif selain daripada pembelajaran dalam talian, ketika lanjutan PKP,” jelas kenyataan itu, hari ini. Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan slot TV Pendidikan akan bermula minggu depan. Beliau berkata, sesi pembelajaran melalui televisyen pendidikan itu akan menawarkan siri latihan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, khususnya yang tidak mempunyai akses internet.

Difahamkan, jadual rancangan itu akan menyusul sehari sebelum siaran dan akan dikeluarkan secara berperingkat mulai esok. Kenyataan media itu menjelaskan, slot TV Pendidikan itu disiarkan menerusi kerjasama antara Kementerian Pendidikan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Melalui kerjasama itu, Kementerian Pendidikan menyediakan kandungan rancangan pembelajaran yang bersesuaian untuk disiarkan RTM. “Usaha ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh murid, guru dan ibu bapa bagi memastikan proses pembelajaran murid dapat diteruskan dengan efektif dan menarik walaupun dalam keadaan mencabar ketika ini,” kata kenyataan itu lagi. 

Jadual rancangan program itu boleh didapati dengan melayari portal rasmi kementerian di www.moe.gov.my atau Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan. Slot TV Pendidikan itu juga boleh ditonton secara percuma menerusi saluran 110 MyFreeview TV atau saluran 146 di ASTRO dan ASTRO NJOI. Bagi murid yang mempunyai capaian internet, Kementerian Pendidikan berkata, siaran itu boleh ditonton melalui laman sesawang www.myklik.rtm.gov.my.
ERA globalisasi ini, pemantapan sistem pendidikan negara menjadi tonggak utama memajukan negara. Dalam usaha memantapkan sistem pendidikan, kurikulum hendaklah sentiasa dikemas kini agar pengetahuan serta kemahiran mahasiswa seiring keperluan zaman. 

Berpaksikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang disesuaikan perkembangan pendidikan di peringkat rendah hingga pengajian tinggi, generasi masa kini dan akan datang perlu dipandu sebagai persiapan diri menempuh era dunia teknologi yang semakin berkembang pesat. Generasi milenia ialah aset negara amat berharga dalam menentukan corak masyarakat dan negara. Mereka sewajarnya dibekalkan kurikulum relevan dan terkehadapan agar pengetahuan serta kemahiran diperoleh mampu mengatasi pelbagai cabaran. 

Dengan merujuk konteks pengajian tinggi, keberhasilan seseorang graduan daripada institut pengajian tinggi (IPT) diukur berdasarkan faktor kebolehpasaran. Semakin cepat dan ramai graduan bekerja, semakin popular dan relevan program akademik ditawarkan. Namun, jika mereka kekal menganggur dalam masa lama dan kuantiti banyak, maka timbul persoalan, apakah wujud jurang antara keperluan pasaran atau industri dengan kualiti program akademik ditawarkan IPT? 

Di negara ini, program akademik di IPT perlu disemak dan diperbaharui supaya memenuhi keperluan industri, masyarakat serta negara. Selari perubahan dunia ke arah Revolusi Industri 4.0 dan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21), dunia terarah kepada keadaan menampakkan kecenderungan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia dan meletakkan lebih banyak unsur teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) termasuk penggunaan robot atau sistem automasi. Bagi menjamin kelestarian dan kelangsungan kualiti pendidikan, IPT perlu menggabung unsur manusiawi dan automasi dalam kurikulum supaya tenaga kerja dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan. 

Bukan sahaja proses pembelajaran perlu menarik dan menyeronokkan, ia mesti dapat menghasilkan graduan berfikiran kritis, kreatif dan inovatif. Peranan kumpulan penasihat industri penting bagi kelangsungan program akademik. Penasihat industri didefinisikan sebagai pihak dilantik IPT bagi memberikan input, khidmat nasihat dan strategi dalam menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran serta jaringan kerja dengan industri berkenaan. Pengurusan IPT akan membentangkan laporan lengkap berkaitan program ingin disemak termasuk justifikasi semakan kurikulum sedia ada, statistik kelestarian, unjuran, enrolmen, keluaran serta kebolehpasaran pelajar sedia ada dan bergraduan. 

Daripada laporan itu, panel penasihat industri akan memberikan maklum balas selari dengan keperluan dan kehendak semasa pemegang taruh, industri dan agensi berkaitan dengan program masing-masing. Kedua-dua pihak saling bertukar pandangan dan idea secara telus demi kebaikan program, pelajar, industri serta IPT sendiri. Pada era mencabar, input industri akan memperkayakan sudut pandangan berkenaan mempersiapkan sumber tenaga kerja lebih kompeten untuk kepentingan negara dan pembangunan ekonomi. 

Kerjasama erat membolehkan universiti memperoleh buah fikiran daripada pakar bidang di luar universiti terutama daripada kaca mata pengamal. Pengalaman mereka akan membolehkan bakal graduan mengaitkan ilmu dipelajari dalam universiti dengan realiti dunia pekerjaan. Kerjasama melalui perkongsian pintar dalam membina kurikulum berdaya maju dan kompetitif akan mencetuskan impak besar kepada kemajuan industri dan ekonomi serta pembangunan insan lebih holisitik dan seimbang sejajar Anjakan Pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025. 

Langkah proaktif dalam menjalin hubungan universiti dan industri berupaya mencapai hasrat 100 peratus graduan memperoleh pekerjaan dalam tempoh setahun bergraduan. Dengan mengambil kira pandangan penasihat industri dalam proses semakan kurikulum, ia memberi penghargaan dan kepercayaan besar kepada industri. Justeru, industri akan lebih terbuka bekerjasama dengan universiti dalam pelbagai aktiviti seperti penyelidikan, penyediaan tempat latihan industri dan penganjuran bengkel latihan kemahiran. 

Tanpa jalinan dengan industri, dikhuatiri kurikulum program akademik tidak selari perkembangan terkini yang boleh membawa kepada keadaan graduan tidak disiap dengan baik untuk menempuh cabaran sebenar selepas memasuki pekerjaan. 

Keberhasilan graduan tentunya menjadi keutamaan tertinggi agar program akademik di IPT kekal lestari dan sentiasa menjadi pilihan utama. 

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, 
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

SKGD telah mengadakan Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan 2019 pada 28 Januari 2019 bertempat di Dewan Sri Dermin SKGD. Majlis ini disempurnakan oleh wakil Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kota Bharu iaitu Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Bharu, En. Hafizan.